Rabu, 02 Juli 2014

SYEIKH MAULANA ZAKARIYYA AL-KANDAHLAWI RH.A


SYAIKHUL HADITS MAULANA ZAKARIYYA AL-KANDAHLAWI RH.A



Syeikh Maulana Zakariyya RH.A
Beliau dilahirkan pada 10 Ramadhan 1315H, bertepatan dengan 12 Februari 1898, di sebuah desa bernama Kandalah di wilayah Uttar Pradesh, India. Silsilah keluarga beliau bersambung sampai kepada sahabat besar Nabi, Abu Bakar As-Siddiq r.a. 

Di peringkat awal, Maulana Zakaria menadah kitab kepada Hakim Abdur Rahman, kemudian menghafal Al-Quran di bawah ayahandanya Maulana Muhammad Yahya, ulama besar yang sangat terkenal di India. Setelah itu, beliau belajar bahasa Parsi dan bahasa Arab kepada bapa saudaranya, Maulana Muhammad Ilyas, pelopor gerakan Tabligh. 

Pada usia 12 tahun, Maulana Zakaria dibawa oleh ayahandanya ke Madrasah Mazahirul Ulum. Di bawah bimbingan ayahandanya, beliau mempelajari bahasa Arab tingkatan lanjutan, teks-teks klasik, nahwu, saraf dan ilmu mantiq. Ketika usianya memasuki 17 tahun, minat utamanya mula terfokus pada bidang kajian ilmu hadith. Beliau mempelajari 5 dari 6 kutubussittah. Beliau pernah belajar kitab Sahih Bukhari dan Sunan at-Tirmizi kepada Maulana Khalil Ahmad Saharanpuri. Sepanjang mempelajari kitab-kitab tersebut, Maulana Zakaria sangat menjaga wudhuknya. Maulana Zakaria mula mengajar pada tahun 1335H. Pada peringkat awal, beliau mengajar mata pelajaran nahwu, saraf dan sastera. Pada tahun 1341H, beliau mengajar tiga bahagian dari kitab Sahih Bukhari dan pada tahun 1344H, beliau mengajar satu kitab tambahan iaitu kitab Mishkat al-Masabih.

Pada tahun 1345H, beliau berkesempatan mengunjungi tanah suci. Di Madinah beliau tinggal selama 1 tahun dan mengajar kitab Sunan Abi Daud di Madarasah Ulum Shar’iyyah. Di Kota Nabi ini, Maulana mula menulis kitab Awjaz al-Masalik ila Muwatta’ Imam Malik yang merupakan syarah atas kitab Al-Muwatta’ Imam Malik. Pada ketika itu, beliau berumur 29 tahun. Sepulangnya ke India, beliau mengajar kitab Sunan Abi Daud, Sunan al-Nasai, Al-Muwatta dan separuh bahagian dari Sahih Bukhari dimana separuhnya lagi diajar oleh mudir madrasah. Setelah mudir wafat, tugas mengajar Sahih Bukhari ini diberikan seluruhnya kepada Maulana Zakaria. Beliau mengajar sehingga tahun 1388H dan selepas itu beliau tidak mampu lagi mengajar kerana sakit mata yang dideritainya. Kecintaan Maulana Zakaria pada agama, terutama pada kajian ilmu hadith, sangat mendalam. Jangka masa waktu yang dihabiskan beliau untuk belajar dan mengajar hadith adalah selama lebih kurang 60 tahun. 



Dalam tempoh tersebut, beliau telah menulis lebih dari 80 kitab yang sangat tinggi nilainya dan diakui oleh para ulama di seluruh dunia. Beberapa kitab yang beliau tulis dalam bidang kajian hadith antara lain ; Awjaz al-Masalik ila Muwatta’ Imam Malik (syarah atas kitab Muwatta Imam Malik, terdiri dari 6 jilid), Lami’ al-Dirari ‘ala Jami’ al-Bukhari (syarah atas kitab Sahih Bukhari), Syarah Muslim (syarah Sahih Imam Muslim), Juz’ Hajjat al-Wida’ wa ‘Umrat al-Nabi (Isi Kandungan tentang haji dan umrah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.dan turut memuatkan masalah hukum haji, lokasi, dan tempat-tempat yang pernah dilalui atau disinggahi oleh Rasuulllah s.a.w.), Khasa’il Nabawi Sharh Shama’il al-Tirmidhi (syarah dan komentar terhadap kitab al-Shama’il al-Muhammadiyya-nya Imam Tirmidzi yang berisi tentang hadith-hadith yang berkenaan dengan peri kehidupan Nabi Muhammad s.a.w.) dan beberapa kitab lainnya. Karya beliau yang paling terkenal ialah Fadhail Amal.

Di bawah adalah Surat dari Al Allamah Sayyid Muhammad Alawi Al Maliki r.h kepada Ulama’ besar Hadith, Sheikhul Hadith Maulana Muhammad Zakariyya Al Kahdahlawi r.h. iaitu Penyusun Ayat2 Manzil & Kitab Fadhail Amal. : -


“Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Yang Terulung, Ulama Hadith yang teralim. Yang memiliki keturunan yang cemerlang, Yang sentiasa diliputi keberkatan ,Imam, Pendakwah, Tuan saya juga guru saya : Sheikh Maulana Zakariyya semoga sentiasa dilidungi Allah.

Assalamualaikum wa Rahmatullah

Saya mengucapakan Selamat Tahun Baru Hijrah. Semoga Allah menghasilkan kemakmuran, keberkatan, kegembiraan dan kemesraan. Amin.

Saya mengucapakan berbanyak terima kasih di atas kesudian tuan mengirimkan kepada saya naskah kitab yang terulung, terkenal dan isi serta huraianya yang amat disanjungi, “Bazlul Majhud”, yang mana ianya diperindahkan lagi dengan huraian tuan. Semoga Allah memelihara, menjaga dan sentiasa bersama tuan serta memanjangkan umur tuan di dalam ketaatan dan kecemerlangan di dalam perhambaan diri padaNya. Dan juga semoga IaNya membolehkan kami mengambil menafaat dari tuan. Semoga tuan sentiasa diliputi kemakmuran.

Yang Hina dan disayangi,

Muhammad ibn ‘Alawi al-Maliki
(Khadam Kepada pelajar Universiti Umm al-Qura dan Masjidil Haram)

04/01/1394 H

Rujukan : Fihrist Ta’lifat-e-Shaykh, Volume 1, p. 346 (Saharanpur: Maktabah Yadgar-e-Shaykh, Ramadhan 1417H / Januari 1997 ) oleh Maulana Sayyid Muhammad Shahid Saharanpuri.

Red :
Syaik Maulana Zakariyya Al-Kandahlawi Ternyata adalah guru dari Sayyid Muhammad ibn Alawi Al-Maliki , Subhanallah Semga Beliau Senantiasa berada didalam Rahmat Allah SWT,Aamiin.